Monday, August 26, 2013

PEMBENTUKAN JATI DIRI RAKYAT MALAYSIA

    Umumnya bila membicarakan persoalan mengenai pembentukan jati diri seseorang rakyat Malaysia, kita tidak dapat lari daripada menjawab beberapa persoalan utama. Pertama, apakah definisi jati diri? Kedua, bagaimanakah yang dikatakan jati diri acuan Malaysia? Ketiga, bagaimanakah jati diri sesebuah Negara terbentuk dan boleh berubah?
    Apakah yang dimaksudkan dengan jati diri? Jati diri secara amnya membawa maksud rangkuman nilai, budaya, bahasa, pegangan, fahaman, dan pandangan jagat sesuatu kaum. Manifestasi dari nilai-nilai tersebut membentuk watak dan sifat peribadi, cara berfikir, cara hidup dan penampilan diri yang melambangkan tradisi bangsa dan jati diri kaumnya (Zaid Ahmad Ruslan.. [et. al.], 2010). Cita-cita pemupukan jati diri boleh dicapai kerana kita sudah sedia ada negara, bahasa, nilai, minat dan perlakuan yang sama mengikat seluruh negara. Sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat, sepatutnyalah Malaysia mempunyai budaya dan identiti sendiri yang sesuai dengan negara ini. Namun krisis yg berlaku pada tahun 1969 (peristiwa 13 Mei) mencerminkan rakyat Malaysia belum mempunyai suatu budaya nasional yang menjadi asas bersama walaupun sebelum kemerdekaan telah wujud permuafakatan di antara rakyat di negara mewujudkan perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi negara.
    Setiap pembentukan sebuah matlamat tidak akan dapat dicapai tanpa menempuhi cabaran yang mendatang. Seperti peribahasa yang selalu diungkap, kalau tidak dipecahkan ruyung,manakan dapat sagunya. Peribahasa ini bermaksud, tidak akan tercapai maksudnya kalau tak mahu berusaha dan bersusah payah (sumber : http://bmspm.net).
    Untuk memudahkan pembacaan, cabaran dalam membentuk jati diri rakyat Malaysia dapat dikategorikan kepada dua aspek. Yang pertama merupakan cabaran dalaman dan yang kedua adalah cabaran luaran. Kedua-dua aspek ini perlu difahami dengan jelas oleh setiap individu yang bergelar warganegara untuk mengenalpasti mengapa sikap sedemikian boleh menjejaskan keamanan serta menjatuhkan perpaduan antara rakyat di Malaysia. Cabaran dalaman yang dimaksudkan di sini datangnya daripada dalam diri individu masyarakat itu sendiri, baik dari segi pemikirannya, mental mahupun rohani. Manakala, cabaran luaran itu datangnya dari ancaman anasir-anasir luar yang berusaha untuk menggugat ketenteraman kita.
    Pelbagai usaha telah dilakukan untuk mencapai matlamat membentuk bangsa Malaysia seperti Wawasan 2020 dan yang terbaru, gagasan 1 Malaysia. Kita sendiri, sebagai rakyat Malaysia juga haruslah berusaha untuk bersama-sama membentuk jati diri yang boleh kita perbanggakan sebagai satu bangsa Malaysia. Memahami dan menghayati sejarah Negara, Rukun Negara, Perlembagaan Persekutuan, lagu Negaraku serta menghormati Jalur Gemilang merupakan langkah pertama yang harus diambil oleh setiap individu bagi mengembalikan jati diri dan rasa cinta akan Negara. Pemerkasaan bahasa kebangsaan dan menjadikan agama Islam sebagai panduan hidup turut boleh menyumbang kepada jayanya pembentukan jati diri dan identiti bangsa Malaysia.
    Menerusi penulisan ini, kami akan mengupas dengan lebih lanjut lagi apakah cabaran yang harus dihadapi dalam usaha membentuk jati diri dan identiti bangsa Malaysia dan langkah-langkah yang boleh kita praktikan dalam mengatasi cabaran yang timbul sepanjang proses pembentukan matlamat ini. Kami berharap sedikit sebanyak informasi yang kami kongsi di sini dapat membuka minda para pembaca akan kepentingan jati diri sebagai seorang rakyat Malaysia.
    Setelah membuat beberapa pembacaan melalui internet, buku rujukan dan berdasarkan pemerhatian, kami dapati antara punca mengapa sukar untuk membentuk jati diri rakyat Malaysia adalah disebabkan pemikiran individu itu sendiri. Jati diri tidak akan dapat dibentuk jika individu itu menolak untuk berubah. Pemikiran mereka yang kebanyakan masih di takuk yang lama, menolak perubahan yang dilakukan oleh kerajaan sedangkan segala yang dimajukan adalah untuk kebaikan rakyat juga.
    Perbezaan pemikiran dan percanggahan pendapat inilah yang mendatangkan jurang dalam usaha kerajaan untuk membentuk perpaduan rakyat. Orang Melayu khususnya dari generasi lama biasanya terkenal dengan sikap mereka yang akan menentang habis-habisan jika tidak bersetuju jika pembaharuan dilakukan oleh kerajaan. Mungkin juga kerana masih trauma akibat kesan penjajahan yang pernah oleh penjajah-penjajah sebelum ini.
    Selepas penjajahan, usaha untuk menyatupadukan rakyat Malaysia menjadi lebih sukar malah sehingga ke hari ini,usaha untuk meningkatkan sikap kecintaan terhadap negara masih lagi dijalankan. Hal ini kerana, untuk membawa semua kaum yang sudah memahami budaya dan adat kaum sendiri, secara tiba-tiba disuruh bersatu dengan kaum lain, tentulah bukan mudah.
    Mungkin sebilangan dari kita, rakyat Malaysia masih tidak menyedari betapa pentingnya jati diri dalam kehidupan kita yang masih lagi bersatu, membangun bersama kaum yang berbilang bangsa di negara ini . Bila mana tiada jati diri di dalam diri masing-masing, maka persengketaan mudah berlaku. Malahan, jika tiada sedikit sikap hormat pun, boleh mendatangkan perbalahan. Kita sebagai generasi muda tidak langsung mengambil iktibar daripada peristiwa 13 mei 1969, rusuhan yang melibatkan kaum-kaum di negara ini sehingga mengorbankan nyawa. Lebih teruk dari itu,ada juga yang tidak tahu menahu mengenai peristiwa berdarah ini.
    Ramai di antara kita yang hanya tahu menegakkan itu ini tanpa mengetahui objektif perjuangan mereka. Kebanyakan dari mereka hanya mengikut arahan dan bertindak membuta tuli tanpa memikirkan kesannya kepada negara. Mereka hanya mahukan suara mereka didengari dan diikuti. Tetapi ada baiknya,kerana sikap inilah yang membuatkan penjajah British suatu ketika dahulu amat gerun dengan orang Melayu.
    Itu kisah generasi lama, berlainan pula dengan generasi muda zaman ini. Kebanyakan dari mereka belum pun menamatkan persekolahan, tetapi sudah pandai bertindak luar kawalan, bukan seperti yang dibataskan sebagai seorang pelajar. Mereka terlalu muda dan sememangnya hanya belajar sejarah sematamata untuk peperiksaan dan bukannya menghayati erti dan sebab perjuangan tokoh-tokoh pejuang Tanah Melayu dahulu. Jadi, jati diri itu tidak dapat diserap sepenuhnya dalam diri mereka.
    Cabaran dalam membentuk jati diri di kalangan rakyat Malaysia adalah disebabkan perbezaan budaya yang terdapat pada kaum di negara ini. Masingmasing mahu mengamalkan budaya sendiri tanpa menghiraukan sensitiviti kaum lain. Sikap tidak menghormati kaum lain, berlainan penggunaan laras bahasa yang sesuai boleh meninggalkan perspektif yang negatif terhadap kaum tersebut. Dan ini menyukarkan proses perpaduan antara kaum di Malaysia.
    Melalui proses sosialisasi, kita memperolehi budaya masyarakat di mana kita dibesarkan. Bahasa merupakan asas kepada setiap budaya masyarakat. Memandangkan bahasa merupakan asas sesebuah budaya, maka penguasaan beberapa bahasa dilihat sebagai penting dalam perhubungan di antara pelbagai bangsa.
    Amat ketara jika orang melayu dibandingkan dengan orang cina dan india. Majoriti orang cina dan india di negara ini fasih bertutur,menulis dalam Bahasa Malaysia, tetapi hanya segelintir dari orang melayu yang pandai bertutur atau menulis dalam Bahasa Cina ataupun Bahasa Tamil. Agak pelik bukan? Jadi, tidak mustahil jika kebanyakan orang melayu tidak dapat menyesuaikan diri apabila berada di dalam kelompok cina atau india.
    Hiburan. Merupakan penyebab utama mengapa jati diri rakyat Malaysia sukar dibentuk. Hiburan yang merupakan saluran utama barat untuk menjajah minda rakyat kita. Sekaligus dengan hiburan kita akan mudah leka dan terpengaruh dengan budaya orang barat. Tidak kira dari segi percakapan, malahan perwatakan orang barat juga telah diikuti oleh generasi muda kini.
    Gaya hidup orang barat yang bebas dan tidak keterlaluan jika dikatakan sangat sosial mungkin menjadi idaman golongan muda remaja di Malaysia. Generasi tua pun apa kurangnya, sibuk menyertai program realiti yang dianjurkan oleh pihak televisyen. Tidak salah,tetapi jika berterusan, boleh mengundang leka. Sedangkan di negara lain, golongan-golongan ini bersatu dengan pemuda-pemudi dan bertungkus-lumus untuk mempertahankan agama dan negara dari serangan musuh.
    Kita perlu memahami dan menghayati sejarah Negara, perjuangan dan susah payah membangunkannya.Bangsa yang tidak mengenali sejarah hanya hidup untuk mencari makan atau bersikap materialistik seperti imigran-imigran yang dibawa oleh British ke negara ini sebagai buruh paksa suatu masa dahulu. Golongan bukan Melayu khususnya mesti diperjelaskan bahawa mengkaji sejarah negara ini tidak boleh dipisahkan daripada melibatkan sejarah orang Melayu. Sejarah negara adalah sejarah Melayu yang bersifat kebangsaan dan meliputi semua kaum. Ini sama dengan perjuangan kemerdekaan yang digerakkan oleh nasionalis Melayu tetapi ia adalah perjuangan kebangsaan untuk semua kaum. Sejarah negara ini tidak boleh dipisahkan daripada tiga perkara iaitu orang Melayu, institusi Raja-raja Melayu dan agama Islam.
    Kalau kembali kepada sejarah, sudah tentu tidak wujud prasangka antara kaum di negara ini kerana sejarah telah menggariskan hak masing-masing tanpa berkorban apa-apa atau mengambil apa-apa daripada orang lain. Apabila mereka tahu sejarah asal usul masing-masing, tidak timbul lagi sekian banyak tuntutan yang tidak masuk akal. Kegagalan mengenal sejarah yang berkaitan dengan negara sendiri akan melunturkan kecintaan kepada tanah air.Orang- orang Melayu pula perlu benar-benar memahami dan sedar bagaimana negara Malaysia ini yang dahulunya bernama Tanah Melayu, berada di rantau Melayu, kini telah menjadi Malaysia iaitu sebuah negara di rantau Melayu yang warganegaranya masyarakat majmuk yang terdiri dari etnik Melayu, Cina, India, Bumiputera Sabah dan Sarawak dan lain-lain. Orang Melayu perlu tahu dan faham sejarah bagaimana orang bukan Melayu mendapat hak sebagai warganegara. Jika orang Melayu tidak faham dan tidak sedar, tidak mustahil suatu hari nanti etnik Melayu akan menjadi etnik minoriti di tanah air sendiri.
   .Kita kembali menghayati lima prinsip Rukun Negara, memahami Perlembagaan Persekutuan, menjiwai maksud tersirat lirik lagu Negaraku serta menghormati Jalur Gemilang bagi mengembalikan jati diri dan rasa cinta akan negara.Rukun Negara telah digubal oleh Majlis Perundangan Negara dan diperkenalkan pada 31 Ogos 1970. Ia dirumus berasaskan kepercayaan, keyakinan dan iltizam untuk membentuk jati diri rakyat Malaysia. Rukun Negara dengan prinsip-prinsip yang bertunjangkan semangat Perlembagaan diharap dapat membentuk jati diri rakyat Malaysia sebagai satu Bangsa Malaysia. Ramai kalangan rakyat Malaysia yang lancar menyebut lima prinsip Rukun Negara. Menyanyikan lagu Negaraku dan menyenaraikan warna-warna serta lambanglambang yang terdapat pada Jalur Gemilang tetapi tercengang dan tergagapgagap apabila diminta menerangkan maksudnya.
    Rakyat Malaysia seharusnya berasa bangga dengan tanah air yang didiami ini. Keharmonian dan kedamaian yang dinikmati tidak dapat dibeli dengan wang ringgit. Kesedaran terhadap betapa berharganya keamanan negara perlu ditanam dalam jiwa setiap rakyat Malaysia bak kata pepatah “Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. "
    Usaha yang lebih mantap bagi memperkasakan Bahasa Kebangsaan perlu digerakkan dengan mewujudkan sasaran yang jelas, pendekatan yang menyeluruh dan koordinasi antara badan penggerak utama bahasa. Usaha ini amat penting untuk memupuk perasaan cintakan Bahasa Kebangsaan kerana ia merupakan identiti unik Bangsa Malaysia. Selain itu, usaha ini juga bertujuan untuk memperkukuh kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa perpaduan, bahasa ilmu dan bahasa komunikasi moden. Matlamatnya adalah untuk melahirkan generasi masa depan Bangsa Malaysia yang fasih, menghormati dan berbangga dengan bahasa yang menjadi identiti mereka sehingga dapat mempromosikannya di mana sahaja mereka berada.
    Sebagai agama rasmi, kedudukan Islam harus mendapat tempat yang wajar dalam penyelesaian masalah seperti yang diperakui dalam Perlembagaan Malaysia. Ajaran Islam yang mengandungi norma-norma yang bercorak universal dan menentang paksaan terhadap orang bukan Islam sangat sesuai untuk masyarakat berbilang kaum. Unsur toleransi dalam Islam harus ditonjolkan dan diterima dalam konteks penyelesaian cabaran yang wujud dalam pembentukan jati diri rakyat di Malaysia.
    Sekadar menyenaraikan cabaran dan penyelesaiannya, itu perkara mudah. Realitinya, usaha membentuk jati diri rakyat Malaysia bukannya satu perkara yang mudah dan mengambil masa yang panjang untuk direalisasikan. Pada pandangan kami, cabaran terbesar datangnya daripada individu yang mendakwa diri mereka rakyat Malaysia. Mempunyai status warganegara di dalam kad pengenalan bermakna mereka terikat dengan Perlembagaan Persekutuan dan mereka mesti memenuhi tanggungjawab mereka selaku warganegara Malaysia. Peristiwa-peristiwa yang telah berlaku sepanjang tahun 2011 dan juga pada awal tahun 2012 jelas membuktikan kedangkalan masyarakat kita dalam memahami dan menghayati sejarah, menerima perubahan serta makna keamanan yang sedang kita kecapi sekarang. Kecetekan minda generasi sekarang berpunca dari kurangnya kesedaran dan minat untuk menimba ilmu dan menerima perubahan. Bukan itu sahaja, kurangnya kesedaran dan minat untuk memelihara keamanan yang dinikmati turut menjadi faktor yang menghalang usaha-usaha untuk membentuk jati diri rakyat Malaysia.
    Sebaik-baik jalan penyelesaiannya adalah kita haruslah berusaha untuk memupuk kesedaran dan minat dalam diri anak-anak muda sekarang akan betapa pentingnya jati diri kita sebagai seorang warganegara Malaysia. Jati diri yang mantap,baik meningkatkan semangat patriotisme,iaitu semangat cintakan negara di dalam diri setiap rakyat Malaysia. Bayangkan jika tiada jati diri, bagaimana kita mahu mempertahankan kemerdekaan yang sudah 57 tahun dikecapi oleh negara. Bukanlah suatu angka yang kecil, tapi jika tidak dipertahankan oleh setiap rakyat, tidak mustahil kita akan dijajah semula. Mungkin negara kita secara fizikalnya tidak dijajah, tetapi jika tiada jati diri juga dianggap dijajah. Jika kita mempunyai asas jati diri yang kuat, bukan setakat mental dan fizikal kita turut menjadi kuat, bahkan ikatan perpaduan kita akan menjadi semakin utuh, sekaligus memudahkan kita untuk mempertahankan agama, bangsa dan Negara kita daripada ancaman anasir-anasir luar yang tidak pernah senang melihat keamanan Negara kita, Malaysia.

    Bukannya satu tugas yang mudah untuk membentuk jati diri seseorang individu jika tanpa wujudnya kesedaran dan minat dalam diri individu itu sendiri untuk menerima perubahan. Pembentukan jati diri bukanlah sesuatu yang boleh dipaksa dalam diri seseorang dan jika tidak ditangani dengan sebaik-baiknya, akan musnahlah perpaduan dan keamanan yang telah para pemimpin dahulu perjuangkan dengan susah payahnya. Tiada gunanya segala perancangan dan usaha untuk membina jati diri rakyat Malaysia jika tanpa kerjasama daripada rakyat Malaysia sendiri. Tepuklah dada, tanyalah hati.

Dipetikan daripada: http://www.scribd.com/doc/97559164/PEMBENTUKAN-JATI-DIRI-RAKYAT-MALAYSIA-CABARAN-DAN-PENYELESAIANNYA


SATU MALAYSIA ; JATI DIRI BANGSA


   Tiada satu pun etnik dinegara ini terpinggir daripada arus kemajuan Negara malah semuanya menikmati hasil kekayaan dibumi yang amat bertuah ini. Malah, Malaysia turut menjadi “syurga” kepada pendatang asing mencari rezeki untuk menanggung keluarga mereka dinegara asal
     Tidak dinafikan dalam era dunia tanpa sempadan, masih terdapat segelintir rakyat dinegara ini yang hidup dalam arus kemiskinan. Namun, perlu di ingatkan bahawa segala dasar dan perancangan yang dilaksanakan oleh kerajaan menurunkan paras kemiskinan daripada 52.2 peratus pada 1970 kepada 3.6 peratus pada 2007. Begitu juga peratusan miskin tegar sebanyak 4.0 peratus pada 1990 berjaya diturunkan kepada 0.7 peratus pada 2007. Taraf kehidupan rakyat Malaysia kini jauh lebih sempurna berbanding dengan sebelum merdeka
    Keberanian pihak tertentu untuk mengugat keharmonian dan keamanan Negara sejak kebelakangan ini mencalarkan maruah dan kedaulatan Negara. Pelbagai onak dan duri diharungi oleh generasi terdahulu dalam perjuangan menegakkan kemerdekaan ini dijiwa dan pemikiran setiap rakyat Malaysia mutakhir kini kelihatannya lebih sukar
   Tepat pada masanya, Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak melaungkan konsep “Satu Malaysia”. Konsep ini merujuk kepada kepelbagaian etnik yang hidup dinegara ini saling berkongsi satu wawasan, matlamat, impian tanpa mengira fahaman agama, ideologi politik, taraf kedudukan, kepelbagaian budaya dan sebagainya dalam mewujudkan keharmonian Negara secara berterusan
    Mesej “Satu Malaysia” perlu dihayati oleh rakyat Malaysia serta memahami maksud yang tersurat dan tersirat disebaliknya. Golongan muda perlu kembali menghayati lima prinsip Rukun Negara, memahami Perlembagaan Persekutuan, menjiwai maksud tersirat lirik lagu Negaraku serta menghormati Jalur Gemilang bagi mengembalikan jati diri dan rasa cinta akan Negara. Penyatuan etnik yang kini tergugat akibat kerakusan segelintir pihak yang mabuk kuasa untuk kepentingan diri sendiri mencemar persefahaman dan keamanan yang dipertahankan selama ini. Rakyat Negara ini tidak seharusnya leka dan berasa selesa dengan situasi yang masih stabil. Kelekaan menyebabkan penyesalan yang tidak berpenghujung apabila kita sudah terlambat untuk mempertahankan kedamaian dan keharmonian seperti yang berlaku disesetengah Negara
    Rakyat Malaysia seharusnya berasa bangga dengan tanah air yang didiami ini. Keharmonian dan kedamaian yang dinikmati tidak dapat dibeli dengan wang ringgit. Kesedaran terhadap betapa berharganya keamanan Negara perlu ditanam dalam jiwa setiap rakyat Malaysia bak kata perpatah “Dimana bumi dipijak, di situ langit dijunjung”




Dipetikan daripada: http://sahabatmantap.wordpress.com/2009/07/11/satu-malaysia-jati-diri-bangsa/


Monday, July 15, 2013

PENGENALAN JATI DIRI

PENGENALAN


     Apakah maksud jati diri? Jati diri adalah unsur-unsur kehidupan yang mencerminkan lahiriah individu  atau masyarakat. Dalam pengertian sahihnya, jati diri adalah identiti individu, masyarakat dan negara bangsa yang mempunyai sifat-sifat keutuhan yang dibanggakan.


     Setiap manusia mempunyai jati diri. Jati diri dapat mempersatukan sikap, semangat, dan juga jiwa korps untuk mencapai tujuan dan maklamat mereka. Oleh sebab itu, jati diri sebenarnya menjadi salah satu pengikat jiwa, penggerak semangat dan penguat suasana kebathinannya. Masyarakat harus memahami dan menghayati jati diri. 


     Dalam masyarakat, nilai idealisme, biasanya tidak dapat dibawa dan dipraktikal sepenuhnya; Amat berbeza keadaannya dunia sebenar ini, dengan idealisme yang didokong dan ditulis dalam buku atau falsafah kemanusiaan yang sememangnya ideal. Bukankah ideal itu, suatu kesempurnaan; atau setidak-tidaknya, hampir kepada kesempurnaan? Dengan kata lain, masyarakat tidak berada dalam keadaan yang betul dan sangat jauh dari kesempurnaan! Maka, apakah kita tidak boleh berpegang dan bertindak pada prinsip tertentu yang membawa idealisme dalam masyarakat?

       Masyarakat yang punya idealisme tinggi, adalah masyarakat yang bertamadun (Madani); masyarakat yang rakyatnya, punya prinsip dan asas dalam melakukan segala tindakan; punya kerukunan dan sistem yang difahami; dan bukan yang mengikut dan bertindak secara membuta-tuli, dan mengikut perasaan emosi; atau lebih teruk, mengikut trend dan kebudayaan (kebiasaan) semasa. Masyarakat sebegini, ibarat masyarakat lalang; mudah sahaja ditiup ke sana dan ke mari mengikut arah kuatnya angin bertiup.

       Generasi berilmu dan bertamadun, seharusnya membawa gelombang perubahan dan aura idealisme kepada mana-mana masyarakat. Kehadirannya, membawa suatu prinsip kebenaran dan berasaskan kepada budaya yang positif, dan bersifat membina tamadun dan akal. Masyarakat yang tidak punya budaya berprinsip ini, akan memandang serong, dan benih prejudis, skeptikal, dan rasa tidak senang biasanya, akan menyerap dan seterusnya akan datang bersama-sama secara seiring. Gelombang dan aura mana yang lebih kuat, sudah tentu akan menguasai dan membawa suatu budaya baru, atau meninggalkan kesan lama yang baru dalam masyarakat tersebut.

        Hakikatnya, manusia tidak suka diubah, dan enggan berubah. Mengekalkan 'status quo' adalah penyakit yang tidak bisa dibiarkan dalam masyarakat, walaupun, masyarakat tersebut dalam keadaan yang berbudaya positif sekalipun. Ini kerana, masyarakat perlukan pelajaran dan ingatan setiap masa. Dan yang lebih penting, zaman dan masa akan membawa generasi baru datang dan generasi lama akan pergi. Struktur masyarakat perlu berubah. Turun dan naik; suka dan duka; berjaya dan gagal; semua proses ini perlu dirasai secara praktikal; bukan sekadar idealisme sahaja. Dengan kata lain, harga harus dibayar. Risiko perlu diambil!


         Lantas, bekalan yang wajib ada dalam setiap insan adalah ILMU, dan IMAN. Ilmu untuk mengisi akal, dan iman untuk mengisi jiwa. Akal dan jiwa berada di dalam jasad setiap manusia. Prinsip dan idealisme ini pula harus diterjemahkan dalam bentuk tindakan. Tindakan pula akan menghasilkan pengalaman. Pentafsiran setiap pengalaman pula akan menghasilkan kematangan. Lihatlah, hadirnya seorang yang berprinsip tidak akan sama dengan hadirnya 1000 orang yang tiada prinsip.

        Orang yang tidak ada prinsip; suasana akan mencorakkan mereka. Manakala, orang yang punya prinsip dan jati diri; mereka akan mencorakkan suasana. Lantas, suatu yang sangat Aneh bila ada keadaan orang yang berprinsip juga terikut dengan suasana sekitar, walau diri mereka punya ilmu, iman, dan pengalaman serta kematangan. Pernah terlihat suasana begini? Tinjau dan fikir; Rupa-rupanya, tidak ramai yang sanggup mengambil risiko dan membayar harga suatu perubahan yang belum tentu semakin baik!


       Mandat dan kepercayaan harus diberikan; Semua orang maklum, generasi muda adalah generasi pemimpin masa depan. Didiklah generasi ini untuk punya prinsip yang baik dan segar; berikan bimbingan, dorongan, kebebasan berfikir secara lateral dan kreatif, kongsikan pengalaman sebagai asas dalam membina kematangan mereka. Bina jati diri mereka; Bantu mereka untuk mereka bina tamadun mereka mengikut acuan Kebenaran.

       Semai dan berikan mereka baja yang baik; benih untuk menjadi pohon meranti yang kukuh, besar, tinggi dan rimbun; merimbuni pelbagai makhluk dan pohonan kecil yang lain dibawahnya. Malah, lalang-lalang juga akan turut menumpang nikmat rimbunannya, walau usianya hanya seratus hari. Usia Meranti ribuan tahun; tamadun yang dibina mampu merimbuni generasi demi generasi; Hanya angin ribut yang maha kuat, dengan izin Allah, ia akan tumbang juga. Tumbangnya akan ditangisi oleh sekelian makhluk di rimba. Gugurnya pohon- yang tingginya menggapai awan, rimbunnya meredup bumi, dan akarnya memasak di pusat bumi. Itulah makna jati diri sebenarnya.

Monday, July 8, 2013

~JATI DIRI~

PROGRAM LATIHAN KHIDMAT NEGARA


       Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) merupakan kursus latihan wajib selama tiga bulan di Pusat Latihan PLKN seluruh Malaysia bagi sesetengah daripada mereka yang terpilih apabila menamatkan pendidikan sekolah menengah di Malaysia atau berumur 17 tahun ke atas. Ia bertujuan bagi pembinaan sahsiah diri bermatlamatkan membina dan mengukuhkan semangat patriotisme di kalangan generasi muda, memupuk perpaduan kaum serta integrasi nasional dan membentuk perwatakan positif menerusi nilai-nilai murni. Program ini bukanlah bersifat Kerahan Tenaga dan tidak mengikut mana-mana model daripada luar kerana dilaksanakan menurut cara Malaysia.Pada setiap tahun, 24% daripada remaja yang akan berumur 18 tahun pada tahun latihan mereka dipilih untuk menyertai PLKN ini. Namun mereka yang bermasalah tertentu boleh memohon untuk ditangguhkan atau dikecualikan untuk PLKN ini.

       Program Khidmat Negara akan dilaksanakan bagi mencapai objektif yang telah digariskan seperti   berikut:
  1. Meningkatkan semangat patriotisme di kalangan generasi muda.
  2. Memupuk perpaduan kaum serta integrasi nasional.
  3. Membentuk perwatakan positif menerusi nilai-nilai murni.
  4. Menyemarakkan semangat kesukarelaan.
  5. Melahirkan generasi muda yang lebih cergas,cerdas dan penuh keyakinan diri


Pelatih PLKN akan menjalani latihan modul-modul yang ditetapkan oleh JLKN iaitu seperti:

  1. Modul Fizikal adalah sebuah modul yang dilaksanakan untuk membina kemahiran dan ketahanan mental, emosi, spiritual dan fizikal bagi menjadikan peserta Program Latihan Khidmat Negara sebagai warganegara yang berkesan. Secara khususnya, latihan-latihan yang dilalui dapat mengeratkan perpaduan di kalangan peserta, mempertingkatkan ketabahan mental bagi tujuan hidup (survival), daya kepimpinan, disiplin dalaman, keyakinan diri, kemahiran bekerja sebagai ahli satu pasukan, kemahiran menyelesai masalah, membuat keputusan secara individu dan dalam kumpulan. Di samping itu, peserta akan dilatih oleh para jurulatih untuk mempelajari melalui pengalaman dalam aktiviti-aktiviti seperti kawad, kraf hutan, pertolongan cemas, membaca peta, kompas, latihan pandu arah, menyeberangi sungai, merempuh halangan, aktiviti menggunakan tali (litar tali tinggi dan rendah), merentas desa, seni mempertahankan diri, aktiviti air, kembara hutan dan lain-lain. Modul ini dilaksanakan selama empat minggu di dalam dan di persekitaran tapak perkhemahan.
  2. Modul Kenegaraan adalah sebuah modul yang diaplikasikan untuk memperluaskan pengetahuan tentang kenegaraan (nation-building) dan meningkatkan perasaan cinta serta pengorbanan para peserta program kepada negara. Melalui latihan dalam kumpulan, jurulatih memimpin kumpulan untuk mempelajari tentang kenegaraan yang merangkumi tanah air, rakyat, kerajaan, kedaulatan dan cabaran-cabaran dalam dan luar negara. Melalui elemen Tanah Air, peserta akan dibantu membina serta memupuk rasa sayang kepada tanah air dan sanggup mempertahankannya. Peserta membincangkan tentang negara dari segi aspek geografi, keindahan bumi ini, hasilnya, sempadan dan lain-lain. Peserta dapat mengetahui asal-usul pelbagai ras, etnik, membina rasa sayang sesama etnik dan antara etnik, memahami kepentingan bersatu-padu melalui aktiviti seperti menganalisis fakta tentang etnik, mengharmonikan perbezaan, memahami persamaan dan sebagainya melalui elemen Rakyat. Elemen Kerajaan pula membantu peserta memahami bagaimana negara (tanah air, rakyat, kedaulatan) ini ditadbir dan diurus, melalui sistem pentadbiran, undang-undang, perlembagaan dan lain-lain. Peserta memahami kepentingan dan cara untuk mempertahankan kebebasan negara melalui elemen Kedaulatan. Cabaran dari dalam dan luar negara juga diperbincangkan supaya peserta menyedari peluang dan ancaman yang datang secara berterusan. Modul ini dilaksanakan selama tiga minggu dan pelbagai kaedah digunakan seperti lawatan, simulasi, lakonan, dinamik kumpulan, menonton gambar, melukis, berdebat, mentafsir peristiwa dan lain-lain.
  3. Modul Pembinaan Karakter adalah sebuah modul yang dilaksanakan untuk membina karakter yang berkesan bagi para peserta yang merangkumi diri, keluarga, komuniti dan negara. Terdapat dua komponen yang akan dilalui peserta di mana yang pertama berfokus kepada pembinaan diri dan kedua adalah tentang diri dengan orang lain. Di dalam komponen pertama, peserta melalui proses penerokaan diri sendiri, menyedari dan mengenal pasti ciri-ciri diri (seperti aspek kepimpinan), memperkayakan kekuatan dan memulihkan kelemahan diri. Peserta menyedari tentang penglibatan orang lain dalam kehidupan mereka, mengetahui kemahiran untuk bekerja sebagai ahli satu pasukan, cara bertindak sebagai pemimpin dalam kumpulan, dan mengatasi masalah di dalam kumpulan semasa melalui komponen kedua modul ini. Melalui aktiviti-aktiviti ceramah, permainan, latihan dan lain-lain, pelatih belajar tentang kejujuran, membuat pilihan, bertanggungjawab, memimpin, menunaikan janji (komitmen) dan membina keyakinan diri. Modul ini dilaksanakan selama dua minggu dan peserta dipimpin oleh jurulatih.
  4. Kehidupan ini tidak akan memberikan sebarang makna sekiranya kita tidak mempunyai kekuatan untuk mencuba sesuatu.” Kesukarelaan dan jatidiri yang kukuh dan padu perlu dijanakan dalam diri setiap individu untuk menyuburkan kekuatan serta keyakinan diri. Dengan itu, sebagai langkah merealisasikan aspirasi tersebut, Program Latihan Khidmat Negara telah dilaksanakan dengan memperkenalkan beberapa modul tertentu kepada para pelatih yang berumur 18 tahun. Salah satu modul yang terdapat dalam pelaksanaan Program latihan Khidmat Negara ialah Modul Khidmat Komuniti . Modul khidmat komuniti mempunyai lima komponen utama iaitu kemudahan awam, kejiranan, khidmat sosial, alam sekitar dan penempatan di Jabatan. Ini bermakna, sepanjang program berjalan, para pelatih akan melalui kelima-lima komponen tersebut dalam tempoh yang telah ditetapkan. Aktiviti bagi melaksanakan aktiviti secara kolektif dan menyeluruh, aktiviti sepanjang siri dibahagikan kepada 5 pecahan komponen supaya wira dan wirawati mampu memahami aspirasi khidmat komuniti di antaranya ialah:
  • Kejiranan – Antara projek utama yang dijalankan ialah mengecat dewan orang ramai, pembahagi jalan, menceriakan taman, lawatan ke rumah-rumah jiran di kawasan kampong, melakukan program anak angkat dan pelbagai lagi.
  • Kemudahan awam – para pelatih turut didedahkan dengan pelbagai aktiviti di lokasi-lokasi terpilih. Antaranya ialah pembaikpulihan perhentian bas, pembaikpulihan dewan masyarakat, memberi kesedaran kepada para pelatih dan masyarakat tempatan mengenai kepentingan kemudahan awam melalui ceramah ringkas, gotong-royong di rumah-rumah ibadat seperti masjid, kawasan kubur dan sebagainya.
  • Antara aktiviti yang dijalankan dalam komponen ini adalah mendengar taklimat daripada institusi-institusi yang dilawat seperti Bengkel Orang Kurang Upaya, PENGASIH, hospital, klinik-klinik desa dan pelbagai lagi.
  • Aktiviti yang paling banyak dilakukan ialah gotong-royong seperti membersihkan, mengindahkan dan menceriakan kawasan sekitar.