Monday, August 26, 2013

PEMBENTUKAN JATI DIRI RAKYAT MALAYSIA

    Umumnya bila membicarakan persoalan mengenai pembentukan jati diri seseorang rakyat Malaysia, kita tidak dapat lari daripada menjawab beberapa persoalan utama. Pertama, apakah definisi jati diri? Kedua, bagaimanakah yang dikatakan jati diri acuan Malaysia? Ketiga, bagaimanakah jati diri sesebuah Negara terbentuk dan boleh berubah?
    Apakah yang dimaksudkan dengan jati diri? Jati diri secara amnya membawa maksud rangkuman nilai, budaya, bahasa, pegangan, fahaman, dan pandangan jagat sesuatu kaum. Manifestasi dari nilai-nilai tersebut membentuk watak dan sifat peribadi, cara berfikir, cara hidup dan penampilan diri yang melambangkan tradisi bangsa dan jati diri kaumnya (Zaid Ahmad Ruslan.. [et. al.], 2010). Cita-cita pemupukan jati diri boleh dicapai kerana kita sudah sedia ada negara, bahasa, nilai, minat dan perlakuan yang sama mengikat seluruh negara. Sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat, sepatutnyalah Malaysia mempunyai budaya dan identiti sendiri yang sesuai dengan negara ini. Namun krisis yg berlaku pada tahun 1969 (peristiwa 13 Mei) mencerminkan rakyat Malaysia belum mempunyai suatu budaya nasional yang menjadi asas bersama walaupun sebelum kemerdekaan telah wujud permuafakatan di antara rakyat di negara mewujudkan perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi negara.
    Setiap pembentukan sebuah matlamat tidak akan dapat dicapai tanpa menempuhi cabaran yang mendatang. Seperti peribahasa yang selalu diungkap, kalau tidak dipecahkan ruyung,manakan dapat sagunya. Peribahasa ini bermaksud, tidak akan tercapai maksudnya kalau tak mahu berusaha dan bersusah payah (sumber : http://bmspm.net).
    Untuk memudahkan pembacaan, cabaran dalam membentuk jati diri rakyat Malaysia dapat dikategorikan kepada dua aspek. Yang pertama merupakan cabaran dalaman dan yang kedua adalah cabaran luaran. Kedua-dua aspek ini perlu difahami dengan jelas oleh setiap individu yang bergelar warganegara untuk mengenalpasti mengapa sikap sedemikian boleh menjejaskan keamanan serta menjatuhkan perpaduan antara rakyat di Malaysia. Cabaran dalaman yang dimaksudkan di sini datangnya daripada dalam diri individu masyarakat itu sendiri, baik dari segi pemikirannya, mental mahupun rohani. Manakala, cabaran luaran itu datangnya dari ancaman anasir-anasir luar yang berusaha untuk menggugat ketenteraman kita.
    Pelbagai usaha telah dilakukan untuk mencapai matlamat membentuk bangsa Malaysia seperti Wawasan 2020 dan yang terbaru, gagasan 1 Malaysia. Kita sendiri, sebagai rakyat Malaysia juga haruslah berusaha untuk bersama-sama membentuk jati diri yang boleh kita perbanggakan sebagai satu bangsa Malaysia. Memahami dan menghayati sejarah Negara, Rukun Negara, Perlembagaan Persekutuan, lagu Negaraku serta menghormati Jalur Gemilang merupakan langkah pertama yang harus diambil oleh setiap individu bagi mengembalikan jati diri dan rasa cinta akan Negara. Pemerkasaan bahasa kebangsaan dan menjadikan agama Islam sebagai panduan hidup turut boleh menyumbang kepada jayanya pembentukan jati diri dan identiti bangsa Malaysia.
    Menerusi penulisan ini, kami akan mengupas dengan lebih lanjut lagi apakah cabaran yang harus dihadapi dalam usaha membentuk jati diri dan identiti bangsa Malaysia dan langkah-langkah yang boleh kita praktikan dalam mengatasi cabaran yang timbul sepanjang proses pembentukan matlamat ini. Kami berharap sedikit sebanyak informasi yang kami kongsi di sini dapat membuka minda para pembaca akan kepentingan jati diri sebagai seorang rakyat Malaysia.
    Setelah membuat beberapa pembacaan melalui internet, buku rujukan dan berdasarkan pemerhatian, kami dapati antara punca mengapa sukar untuk membentuk jati diri rakyat Malaysia adalah disebabkan pemikiran individu itu sendiri. Jati diri tidak akan dapat dibentuk jika individu itu menolak untuk berubah. Pemikiran mereka yang kebanyakan masih di takuk yang lama, menolak perubahan yang dilakukan oleh kerajaan sedangkan segala yang dimajukan adalah untuk kebaikan rakyat juga.
    Perbezaan pemikiran dan percanggahan pendapat inilah yang mendatangkan jurang dalam usaha kerajaan untuk membentuk perpaduan rakyat. Orang Melayu khususnya dari generasi lama biasanya terkenal dengan sikap mereka yang akan menentang habis-habisan jika tidak bersetuju jika pembaharuan dilakukan oleh kerajaan. Mungkin juga kerana masih trauma akibat kesan penjajahan yang pernah oleh penjajah-penjajah sebelum ini.
    Selepas penjajahan, usaha untuk menyatupadukan rakyat Malaysia menjadi lebih sukar malah sehingga ke hari ini,usaha untuk meningkatkan sikap kecintaan terhadap negara masih lagi dijalankan. Hal ini kerana, untuk membawa semua kaum yang sudah memahami budaya dan adat kaum sendiri, secara tiba-tiba disuruh bersatu dengan kaum lain, tentulah bukan mudah.
    Mungkin sebilangan dari kita, rakyat Malaysia masih tidak menyedari betapa pentingnya jati diri dalam kehidupan kita yang masih lagi bersatu, membangun bersama kaum yang berbilang bangsa di negara ini . Bila mana tiada jati diri di dalam diri masing-masing, maka persengketaan mudah berlaku. Malahan, jika tiada sedikit sikap hormat pun, boleh mendatangkan perbalahan. Kita sebagai generasi muda tidak langsung mengambil iktibar daripada peristiwa 13 mei 1969, rusuhan yang melibatkan kaum-kaum di negara ini sehingga mengorbankan nyawa. Lebih teruk dari itu,ada juga yang tidak tahu menahu mengenai peristiwa berdarah ini.
    Ramai di antara kita yang hanya tahu menegakkan itu ini tanpa mengetahui objektif perjuangan mereka. Kebanyakan dari mereka hanya mengikut arahan dan bertindak membuta tuli tanpa memikirkan kesannya kepada negara. Mereka hanya mahukan suara mereka didengari dan diikuti. Tetapi ada baiknya,kerana sikap inilah yang membuatkan penjajah British suatu ketika dahulu amat gerun dengan orang Melayu.
    Itu kisah generasi lama, berlainan pula dengan generasi muda zaman ini. Kebanyakan dari mereka belum pun menamatkan persekolahan, tetapi sudah pandai bertindak luar kawalan, bukan seperti yang dibataskan sebagai seorang pelajar. Mereka terlalu muda dan sememangnya hanya belajar sejarah sematamata untuk peperiksaan dan bukannya menghayati erti dan sebab perjuangan tokoh-tokoh pejuang Tanah Melayu dahulu. Jadi, jati diri itu tidak dapat diserap sepenuhnya dalam diri mereka.
    Cabaran dalam membentuk jati diri di kalangan rakyat Malaysia adalah disebabkan perbezaan budaya yang terdapat pada kaum di negara ini. Masingmasing mahu mengamalkan budaya sendiri tanpa menghiraukan sensitiviti kaum lain. Sikap tidak menghormati kaum lain, berlainan penggunaan laras bahasa yang sesuai boleh meninggalkan perspektif yang negatif terhadap kaum tersebut. Dan ini menyukarkan proses perpaduan antara kaum di Malaysia.
    Melalui proses sosialisasi, kita memperolehi budaya masyarakat di mana kita dibesarkan. Bahasa merupakan asas kepada setiap budaya masyarakat. Memandangkan bahasa merupakan asas sesebuah budaya, maka penguasaan beberapa bahasa dilihat sebagai penting dalam perhubungan di antara pelbagai bangsa.
    Amat ketara jika orang melayu dibandingkan dengan orang cina dan india. Majoriti orang cina dan india di negara ini fasih bertutur,menulis dalam Bahasa Malaysia, tetapi hanya segelintir dari orang melayu yang pandai bertutur atau menulis dalam Bahasa Cina ataupun Bahasa Tamil. Agak pelik bukan? Jadi, tidak mustahil jika kebanyakan orang melayu tidak dapat menyesuaikan diri apabila berada di dalam kelompok cina atau india.
    Hiburan. Merupakan penyebab utama mengapa jati diri rakyat Malaysia sukar dibentuk. Hiburan yang merupakan saluran utama barat untuk menjajah minda rakyat kita. Sekaligus dengan hiburan kita akan mudah leka dan terpengaruh dengan budaya orang barat. Tidak kira dari segi percakapan, malahan perwatakan orang barat juga telah diikuti oleh generasi muda kini.
    Gaya hidup orang barat yang bebas dan tidak keterlaluan jika dikatakan sangat sosial mungkin menjadi idaman golongan muda remaja di Malaysia. Generasi tua pun apa kurangnya, sibuk menyertai program realiti yang dianjurkan oleh pihak televisyen. Tidak salah,tetapi jika berterusan, boleh mengundang leka. Sedangkan di negara lain, golongan-golongan ini bersatu dengan pemuda-pemudi dan bertungkus-lumus untuk mempertahankan agama dan negara dari serangan musuh.
    Kita perlu memahami dan menghayati sejarah Negara, perjuangan dan susah payah membangunkannya.Bangsa yang tidak mengenali sejarah hanya hidup untuk mencari makan atau bersikap materialistik seperti imigran-imigran yang dibawa oleh British ke negara ini sebagai buruh paksa suatu masa dahulu. Golongan bukan Melayu khususnya mesti diperjelaskan bahawa mengkaji sejarah negara ini tidak boleh dipisahkan daripada melibatkan sejarah orang Melayu. Sejarah negara adalah sejarah Melayu yang bersifat kebangsaan dan meliputi semua kaum. Ini sama dengan perjuangan kemerdekaan yang digerakkan oleh nasionalis Melayu tetapi ia adalah perjuangan kebangsaan untuk semua kaum. Sejarah negara ini tidak boleh dipisahkan daripada tiga perkara iaitu orang Melayu, institusi Raja-raja Melayu dan agama Islam.
    Kalau kembali kepada sejarah, sudah tentu tidak wujud prasangka antara kaum di negara ini kerana sejarah telah menggariskan hak masing-masing tanpa berkorban apa-apa atau mengambil apa-apa daripada orang lain. Apabila mereka tahu sejarah asal usul masing-masing, tidak timbul lagi sekian banyak tuntutan yang tidak masuk akal. Kegagalan mengenal sejarah yang berkaitan dengan negara sendiri akan melunturkan kecintaan kepada tanah air.Orang- orang Melayu pula perlu benar-benar memahami dan sedar bagaimana negara Malaysia ini yang dahulunya bernama Tanah Melayu, berada di rantau Melayu, kini telah menjadi Malaysia iaitu sebuah negara di rantau Melayu yang warganegaranya masyarakat majmuk yang terdiri dari etnik Melayu, Cina, India, Bumiputera Sabah dan Sarawak dan lain-lain. Orang Melayu perlu tahu dan faham sejarah bagaimana orang bukan Melayu mendapat hak sebagai warganegara. Jika orang Melayu tidak faham dan tidak sedar, tidak mustahil suatu hari nanti etnik Melayu akan menjadi etnik minoriti di tanah air sendiri.
   .Kita kembali menghayati lima prinsip Rukun Negara, memahami Perlembagaan Persekutuan, menjiwai maksud tersirat lirik lagu Negaraku serta menghormati Jalur Gemilang bagi mengembalikan jati diri dan rasa cinta akan negara.Rukun Negara telah digubal oleh Majlis Perundangan Negara dan diperkenalkan pada 31 Ogos 1970. Ia dirumus berasaskan kepercayaan, keyakinan dan iltizam untuk membentuk jati diri rakyat Malaysia. Rukun Negara dengan prinsip-prinsip yang bertunjangkan semangat Perlembagaan diharap dapat membentuk jati diri rakyat Malaysia sebagai satu Bangsa Malaysia. Ramai kalangan rakyat Malaysia yang lancar menyebut lima prinsip Rukun Negara. Menyanyikan lagu Negaraku dan menyenaraikan warna-warna serta lambanglambang yang terdapat pada Jalur Gemilang tetapi tercengang dan tergagapgagap apabila diminta menerangkan maksudnya.
    Rakyat Malaysia seharusnya berasa bangga dengan tanah air yang didiami ini. Keharmonian dan kedamaian yang dinikmati tidak dapat dibeli dengan wang ringgit. Kesedaran terhadap betapa berharganya keamanan negara perlu ditanam dalam jiwa setiap rakyat Malaysia bak kata pepatah “Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. "
    Usaha yang lebih mantap bagi memperkasakan Bahasa Kebangsaan perlu digerakkan dengan mewujudkan sasaran yang jelas, pendekatan yang menyeluruh dan koordinasi antara badan penggerak utama bahasa. Usaha ini amat penting untuk memupuk perasaan cintakan Bahasa Kebangsaan kerana ia merupakan identiti unik Bangsa Malaysia. Selain itu, usaha ini juga bertujuan untuk memperkukuh kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa perpaduan, bahasa ilmu dan bahasa komunikasi moden. Matlamatnya adalah untuk melahirkan generasi masa depan Bangsa Malaysia yang fasih, menghormati dan berbangga dengan bahasa yang menjadi identiti mereka sehingga dapat mempromosikannya di mana sahaja mereka berada.
    Sebagai agama rasmi, kedudukan Islam harus mendapat tempat yang wajar dalam penyelesaian masalah seperti yang diperakui dalam Perlembagaan Malaysia. Ajaran Islam yang mengandungi norma-norma yang bercorak universal dan menentang paksaan terhadap orang bukan Islam sangat sesuai untuk masyarakat berbilang kaum. Unsur toleransi dalam Islam harus ditonjolkan dan diterima dalam konteks penyelesaian cabaran yang wujud dalam pembentukan jati diri rakyat di Malaysia.
    Sekadar menyenaraikan cabaran dan penyelesaiannya, itu perkara mudah. Realitinya, usaha membentuk jati diri rakyat Malaysia bukannya satu perkara yang mudah dan mengambil masa yang panjang untuk direalisasikan. Pada pandangan kami, cabaran terbesar datangnya daripada individu yang mendakwa diri mereka rakyat Malaysia. Mempunyai status warganegara di dalam kad pengenalan bermakna mereka terikat dengan Perlembagaan Persekutuan dan mereka mesti memenuhi tanggungjawab mereka selaku warganegara Malaysia. Peristiwa-peristiwa yang telah berlaku sepanjang tahun 2011 dan juga pada awal tahun 2012 jelas membuktikan kedangkalan masyarakat kita dalam memahami dan menghayati sejarah, menerima perubahan serta makna keamanan yang sedang kita kecapi sekarang. Kecetekan minda generasi sekarang berpunca dari kurangnya kesedaran dan minat untuk menimba ilmu dan menerima perubahan. Bukan itu sahaja, kurangnya kesedaran dan minat untuk memelihara keamanan yang dinikmati turut menjadi faktor yang menghalang usaha-usaha untuk membentuk jati diri rakyat Malaysia.
    Sebaik-baik jalan penyelesaiannya adalah kita haruslah berusaha untuk memupuk kesedaran dan minat dalam diri anak-anak muda sekarang akan betapa pentingnya jati diri kita sebagai seorang warganegara Malaysia. Jati diri yang mantap,baik meningkatkan semangat patriotisme,iaitu semangat cintakan negara di dalam diri setiap rakyat Malaysia. Bayangkan jika tiada jati diri, bagaimana kita mahu mempertahankan kemerdekaan yang sudah 57 tahun dikecapi oleh negara. Bukanlah suatu angka yang kecil, tapi jika tidak dipertahankan oleh setiap rakyat, tidak mustahil kita akan dijajah semula. Mungkin negara kita secara fizikalnya tidak dijajah, tetapi jika tiada jati diri juga dianggap dijajah. Jika kita mempunyai asas jati diri yang kuat, bukan setakat mental dan fizikal kita turut menjadi kuat, bahkan ikatan perpaduan kita akan menjadi semakin utuh, sekaligus memudahkan kita untuk mempertahankan agama, bangsa dan Negara kita daripada ancaman anasir-anasir luar yang tidak pernah senang melihat keamanan Negara kita, Malaysia.

    Bukannya satu tugas yang mudah untuk membentuk jati diri seseorang individu jika tanpa wujudnya kesedaran dan minat dalam diri individu itu sendiri untuk menerima perubahan. Pembentukan jati diri bukanlah sesuatu yang boleh dipaksa dalam diri seseorang dan jika tidak ditangani dengan sebaik-baiknya, akan musnahlah perpaduan dan keamanan yang telah para pemimpin dahulu perjuangkan dengan susah payahnya. Tiada gunanya segala perancangan dan usaha untuk membina jati diri rakyat Malaysia jika tanpa kerjasama daripada rakyat Malaysia sendiri. Tepuklah dada, tanyalah hati.

Dipetikan daripada: http://www.scribd.com/doc/97559164/PEMBENTUKAN-JATI-DIRI-RAKYAT-MALAYSIA-CABARAN-DAN-PENYELESAIANNYA


No comments:

Post a Comment